Senamrobik AQLI&NAQLI Pertama di USIM
![11415000_758357327595199_1089182496_o (1).jpg](https://static.wixstatic.com/media/2dd0c8_4a1de41f5c8e4a2aa6cf596f857a9495.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_avif,quality_auto/2dd0c8_4a1de41f5c8e4a2aa6cf596f857a9495.jpg)
Antara barisan U3P yang menjayakan senamrobik tersebut.
USIM – Selaras dengan hasrat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang mementingkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus, buat pertama kalinya senamrobik integrasi aqli&naqli telah dipraktiskan pada Minggu Ta’ruf Tamhidi (MTT) kemasukan Mei 2015 di sini, baru-baru ini.
Rosmaria Outar@Autar, pegawai yang bertanggungjawab dalam menjayakan senamrobik terbabit berkata, pada mesyuarat MTT sesi 2015/2016, ahli mesyuarat bersetuju memberi mandat kepada Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) untuk mengelola senamrobik aqli&naqli, sebelum aktiviti eksplorasi bermula pada hari ke-3 MTT tersebut.
“Senamrobik yang dilaksanakan sebelum ini diketua oleh instruktur luar, namun pada tahun ini, USIM yang berpegang teguh kepada konsep integrasi aqli naqli menekankan konsep islamik dan ianya harus dititikberatkan dalam apa jua aktiviti yang dianjurkan.
“Konsep islamik perlu ditonjolkan semasa senamrobik dijalankan selain pemilihan lagu juga perlu dikenalpasti terlebih dahulu bagi merealisasikan senamrobik aqli&naqli dan supaya ianya bersesuaian dengan tema tersebut,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Timbalan Pendaftar USIM, Encik Nasrul Hakim Ahmad berharap U3P bersiap sedia menerima tender sekiranya dipanggil lagi bagi mengetuai senamrobik berirama di peringkat universiti mahupun antarabangsa.
“U3P perlu meningkatkan kemahiran dengan mempraktis sekurang-kurangnya tiga buah lagu lagi dalam masa terdekat ini kerana pada bila-bila masa sahaja Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) akan memanggil U3P menjadi instruktur bagi apa-apa program senamrobik universiti,” ujarnya selepas aktiviti seramrobik berlangsung.
Sementara itu, Muhammad Zaquan Roszalli, pelajar Fakulti Syariah dan Undang-Undang berkata, ketika membawa senamrobik tersebut beliau merasai pengalaman luarbiasa kerana buat kali pertama senamrobik menggunakan lagu Arab dan ini sangat lain dari yang lain.
“Saya melihat peserta MTT sangat teruja dan bersemangat ketika senaman tersebut dijalankan dan ada permintaan untuk diulang semula. Walau bagaimanapun, masa yang diperuntukkan tidak mencukupi.
“Saya berharap semoga warga kampus dapat mempraktiskan senaman terbabit dan mencipta senamrobik berirama baharu sesuai dengan tema aqli naqli sepertimana telah digariskan oleh universiti,” katanya ketika dihubungi.
Senamrobik aqli&naqli yang dipopularkan oleh U3P diberi nama ‘Kun Anta’, telah mendapat respon positif dari kalangan kakitangan universiti mahupun mahasiswa USIM sendiri.
U3P merupakan urusetia yang berada di bawah selia Pusat Kesihatan Universiti (PKU) USIM.