MU’ADZ Meriahkan Malam Penutup MATA 2.0
USIM, 9 Mei- Penampilan khas penyanyi nasyid antarabangsa Mu’adz Dzulkefly memukau lebih 250 hadirin sekali gus memeriahkan malam penutup Mahrajan Thaqafiy Arabiy (MATA) 2.0 anjuran lajnah kebudayaan Nadi Thaqafah di Dewan Kuliah Utama (DKU), baru-baru ini.
Mu’adz yang dikenali sebagai penyanyi lagu-lagu kemanusiaan dan ketuhanan mendekatkan warga kampus kepada sunnah Nabi Muhammad SAW melalui lagu-lagunya yang lebih cenderung kepada bahasa Arab dan hadith-hadith Rasulullah SAW.
Menurut pengarah program MATA 2.0, Amzar Ashraf Sarikal Anwar, persembahan Mua’adz menepati objektif yang telah disasarkan yang mana dalam berhibur, terdapat ibrah yang boleh diambil melalui lagu-lagu yang didendangkannya.
“Persembahan Mu’adz memang terbaik! Mungkin ramai yang tidak mengenali beliau, akan tetapi gandingan beliau bersama rakannya Encik Hafiz membuktikan persembahan yang ditonjolkan cukup bertenaga dan memberi kesan di hati sehingga membuatkan kami semua terpesona dengan lagu dendangan mereka.
Sementara itu, pegawai penyelaras Nadi Thaqafah, Kartina Kamaruzzaman pula berkata, konsep lagu-lagu yang Mua’dz bawakan amat bertepatan dengan tema MATA pada kali ini iaitu Lughawiyyah, Akadamiyyah & Thaqafiyyah.
“Umum mengetahui beliau bukan sekadar penghibur biasa, malah persembahannya padat dengan mesej dan nilai murni selain mampu menarik orang ramai mendekati bahasa Arab dan mendengar hadith-hadith Nabi Muhammad SAW melalui lagu-lagu yang didendangkan.
“Persembahan Mu’adz amat memuaskan kerana kepelbagaian lagu yang dibawa dan interaksi bersama penonton menyemarakkan lagi live performance pada malam tersebut”, ujarnya lagi.
Dalam pada itu, penonton Siti Aishah Rahmat, 23, berkata beliau menyanjung tinggi kebolehan yang ada pada Mua’dz kerana mampu menghiburkan orang ramai dengan cara mendendangkan lagu-lagu hadith.
“Apa yang saya lihat, integrasi aqli dan naqli wujud pada lagu-lagu yang Mua’dz bawakan di mana ia menggabungkan muzik dan lirik yang bercirikan Islam serta tidak melanggar batasan syariah.
“Lagu-lagu yang dimainkan mampu menarik minat masyarakat untuk mempelajari bahasa Arab sekali gus memahami maksud hadith”, tambahnya lagi.
Mua’dz Dzulkefly juga berkata, beliau berasa bertuah kerana dapat membuat persembahan dan berkongsi pengalaman dengan mahasiswa USIM.
“Jika dipanggil lagi, saya tidak keberatan untuk mengadakan persembahan di USIM memandangkan majoriti pelajarnya beragama Islam dan kebanyakannya mereka agak peramah,” katanya selepas membuat persembahan.
Antara lagu-lagu yang didendangkan pada malam terbabit ialah Make The Best, Hijrah, Stand Up dan In Shaa Allah.