Bentuk Tabiat Pemakanan Sihat
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2015, kira-kira 2.3 bilion penduduk di seluruh dunia akan mempunyai berat badan berlebihan, manakala 700 juta daripadanya mengalami masalah kegemukan keterlaluan atau obesiti.
Apa yang lebih membimbangkan, masalah kegemukkan atau obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin bertambah dari tahun ke tahun di negara-negara membangun. Di Malaysia, sehingga 2010, peningkatan kes ini yang direkodkan dalam kalangan kanak-kanak yang berumur antara tujuh hingga 12 tahun adalah sebanyak 10 peratus.
Masalah ini menjadi lebih serius apabila ia turut meningkatnya risiko kesihatan. Ini kerana kegagalan mengawal obesiti akan menyebabkan timbulnya penyakit yang lebih kronik seperti kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, kegagalan sistem pernafasan dan perkumuhan serta kanser.
Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pakar Program Kanak-Kanak Sihat Nestle (NHK), Dr Tee E Siong, antara faktor utama yang menjadi penyumbang kepada masalah obesiti kanak-kanak adalah pengambilan nutrisi tidak seimbang. Selain itu, ia juga disebabkan oleh kurangnya pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat.
Katanya lagi, kanak-kanak sememangnya gemarkan makanan ringan seperti keropok, coklat, jeruk,gula-gula serta makanan segera yang tidak mempunyai zat seimbang untuk tumbesaran mereka. Ini disebabkan mereka terlalu muda dan mudah terpengaruh dengan rasa, pembungkusan serta promosi iklan atau jualan dilakukan pengeluar dan juga penjual.
Pada waktu inilah peranan ibu bapa dilihat sangat penting. Bukan sahaja untuk membentuk peribadi anak-anak,ibu bapa juga perlu membentuk tabiat pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak serta membekalkan nutrisi seimbang sejak awal kelahiran lagi.
“Apabila kanak-kanak ini mula bersekolah, pendidikan mengenai pemilihan makanan seimbang boleh diberikan guru-guru di sekolah. Namun begitu, walaupun terdapat kurikulum mengenai pemakanan seimbang di sekolah, tetapi tidak begitu jelas dan terperinci, malah guru-guru juga tidak dilatih sepenuhnya bagi memberikan latihan serta pengajaran kepada pelajar secara eksklusif ,” katanya. “Apa yang membimbangkan, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol yang tinggi semakin bertambah setiap tahun.
Menurut Dr Chin Yit Siew, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia, pendidikan dalam pemilihan makanan yang betul harus diberikan kepada ibu bapa kerana mereka berperanan menyediakan keperluan makanan seimbang sejak anak dilahirkan sehingga dewasa. Ini boleh dilakukan dengan merujuk kepada garis panduan pemakanan Malaysia atau piramid makanan yang memberikan senarai berguna mengenai pemakanan seharian. “Namun begitu makanan tanpa aktiviti fizikal juga masih belum cukup dan inilah yang ingin kami tekankan kepada ibu bapa, guru dan juga kanak-kanak supaya mereka dapat menyeimbangkan keperluan harian bukan saja pada pengambilan makanan tetapi senaman,” katanya. Ibu bapa boleh menyediakan cara hidangan yang pelbagai bukan dengan cara menggoreng tetapi kukus, panggang, bakar dan rebus dengan memastikan mengambil tiga jenis sajian sayur-sayuran dan dua jenis buah-buahan dalam setiap hidangan. “Mungkin bagi kanak-kanak, menu sayur-sayuran tidak menjadi pilihan mereka, dalam hal ini ibu bapa perlu bijak memilih sayur-sayuran pelbagai warna dengan cara masakan berbeza setiap hari. Apa yang penting pastikan dalam setiap hidangan seimbang, pelbagai serta mengikut piramid makanan,” katanya. Selain itu mempraktikan cara mudah menyediakan makanan yang berkhasiat haruslh menjadi amalan bagi setiap ibu bapa.
Panduan pemakanan seimbang makan nasi, produk bijirin dan ubi terutama bijian penuh yang mencukupi.
Ini termasuk nasi, produk bijirin seperti mi, roti dan gandum atau ubi seperti kentang dan keledek pada setiap hidangan. Pilih produk bijirin seperti roti, biskut yang tinggi serat dan rendah lemak, gula dan garam. Bijian penuh mengekalkan kesemua bahagian bijirin asli iaitu bran dan germ. ia mengandungi pelbagai vitamin, mineral, fitokimia (bahan kimia tumbuhan) dan serat berbanding bijirin terproses. Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.
Makan sekurang-kurangnya tiga hidangan sayur-sayuran dan dua hidangan buah-buahan setiap hari. Amalkan kepelbagaian dengan makan buah dan sayuran berlainan setiap hari. Ambil sayuran berdaun hijau gelap dengan batang boleh dimakan seperti sawi atau kailan setiap hari atau sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu. Ambil sayur-sayuran buah dan akar seperti tomato, peria, kacang bendi, lobak merah dan sayur-sayuran tidak berdaun seperti bunga kubis, brokoli beberapa kali seminggu.Fitokimia dalam buah dan sayuran memberikan warna hijau, merah, oren, kuning dan ungu yang menjadikannya menarik. Kebanyakan fitokimia bertindak sebagai antioksidan dan melindungi sel tubuh.
Makan ikan, daging, ayam, itik, telur, kacang dan bijian secara sederhana. Ambil daging, ayam dan itik secara sederhana. Ambil telur dalam jumlah sederhana sehingga purata sebiji sehari (seluruh atau dalam hidangan). Ambil produk kekacang setiap hari seperti kacang pis atau dal ke dalam sup atau sediakan produk kekacang seperti tempe dan tauhu. Ambil kacang sekurang-kurangnya sekali seminggu sebagai snek atau pengganti daging, ayam dan itik dalam masakan. Ikan membekal protein, vitamin B dan iodin. Ikan bersaiz kecil dengan tulang boleh dimakan membekalkan kalsium. Kebiasaannya ia lebih rendah kandungan kolesterol berbanding daging, ayam dan itik. Sesetengah ikan tiada kandungan asid lemak omega 3 yang dikaitkan dengan penyakit darah tinggi dan jantung.
Ambil jumlah susu dan produk tenusu yang mencukupi. Susu adalah makanan berkhasiat mengandungi pelbagai nutrien penting. Jadi individu daripada semua peringkat usia harus mengambil susu dan produk tenusu setiap hari. Tambahkan susu ke dalam makanan dan minuman. Pilih susu rendah lemak jika anda perlu mengurangkan berat badan berlebihan.Gunakan susu tepung atau cecair bukannya pekat manis dan susu pekat sejat manis. Jika pengambilan susu menyebabkan anda rasa kembung, cirit-birit atau muntah, anda mungkin tidak boleh mengambil laktosa. Namun anda masih boleh menikmati manfaat dengan memilih produk tenusu bebas seperti dadih dan keju. Makan secara pintar.Mengamalkan diet seimbang untuk memperoleh nutrien dalam kombinasi sepatutnya. Memakan pelbagai jenis makanan dan pastikan memilih makanan sihat. Mengambil makanan secara sederhana bermakna mengambil jumlah makanan sesuai untuk mengekalkan berat badan sihat dan mengoptimumkan proses metabolisme badan. Mengambil makanan mengikut waktu makanan.
![Untitled Infographic (Conflict Copy).png](https://static.wixstatic.com/media/2dd0c8_202e9f426b47417aa5149d799c428edd.png/v1/fill/w_797,h_2825,al_c,q_95,enc_avif,quality_auto/2dd0c8_202e9f426b47417aa5149d799c428edd.png)