top of page

GISO Tingkat Kualiti Mahasiswa USIM

bbbb.jpg

Ahli U3P bergambar kenang-kenangan bersama wakil Muslim Care sebelum pulang ke Malaysia

GISO, Singkatan daripada Global Islamic Student Outreach yang telah dibangunkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai platfom terbaik kepada mahasiswa untuk menambahbaik, meningkatkan serta mengukuhkan kualiti diri sebagai mahasiswa yang memberi manfaat kepada masyarakat dan menjadi aset kepada negara.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat ke-110 yang bermaksud, “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah SWT”.

Galakkan untuk berbuat kebajikan ini menjadi kekuatan serta dorongan kepada 23 ahli Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) di bawah selia Pusat Kesihatan Universiti (PKU) USIM untuk mengadakan program GISO ke Guilin, China pada awal tahun lalu.

Nilai pengalaman yang ditempuhi bukan sesuatu yang boleh dibeli dengan wang ringgit tetapi ia perlu dilalui sendiri oleh individu untuk mendapat ruh dan terus bersemangat untuk membuat kebaikan di atas muka bumi ini.

Dana bagi merealisasikan misi besar ini berjumlah lebih RM60 ribu terpaksa kami telan dengan mengadakan pelbagai usaha bagi mendapatkannya termasuk membuat jalinan kerjasama dengan Muslim Care Malaysia, iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menghulur bantuan kepada yang memerlukan tanpa sempadan.

Peluang berurusan dengan syarikat mahupun organisasi luar kami gunakan sebaik mungkin bagi menggilap soft skill dan menambah nilai integriti yang sepatutnya ada dalam diri seorang mahasiswa.

sss.jpg

Setibanya di sana, kami dihidangkan dengan kejutan budaya yang mana menjadi kebiasaan bagi setiap warga Cina bahawa mereka tidak menggunakan air untuk membersihkan najis sebaliknya menggunakan tisu yang disediakan. Jadi, selama empat hari tiga malam juga kami terpaksa membawa botol kosong yang akan diisi air bersih sebelum masuk ke dalam tandas. Keadaan ini menguatkan azam kami untuk mendekati masyarakat Islam yang berada di sana. Ia juga menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan pasti akan disimpan kemas dalam kotak fikiran kami semua.

Dalam keadaan lain, kami terpaksa menggagahi diri menahan kesejukan suhu (-2°C) yang mencengkam hingga ke tulang hitam kerana segala aktiviti-aktiviti yang dirancang tetap perlu dilaksanakan seperti membersihkan Masjid Qianjing dan melawat rumah kebajikan orang tua.

Aktiviti libatsama masyarakat ini kami lakukan bersama warga Cina bertujuan memupuk semangat hormat-menghormati dan mengeratkan silaturrahim di antara pelajar USIM dan masyarakat Islam di China. Selain itu, aktiviti ini secara tidak langsung telah memperkenalkan sistem pendidikan Malaysia yang menitikberatkan semangat kesukarelawan yang patut dijadikan contoh dalam meningkatkan mutu dan taraf pendidikan di sesebuah negara.

Kenyataan ini diakui Imam Besar Guilin iaitu Imam Ismail semasa majlis penyerahan sumbangan berupa wang tunai kepada masjid terbabit. Beliau yang juga merupakan ahli kongres Republik China menyatakan bahawa negara China patut menyontohi sistem pendidikan Malaysia kerana ianya dipenuhi dengan nilai murni dan sumbangannya kepada ummah terlalu besar.

Umum mengetahui bahawa Tanah Besar China mengamalkan sistem komunis yang mana ia menghadkan kebebasan beragama. Hanya tiga peratus (3%) penganut agama Islam dari lima peratus (5%) golongan minoriti yang wujud dan hidup bersendirian di sana. Lawatan kami ke sana seakan memberi sinar baharu kepada mereka untuk terus hidup berpandukan cahaya Islam.

Mereka berasa terharu dan sangat gembira kerana ada saudara sesama Islam yang sanggup menziarahi dan memberi sokongan moral serta mengambil berat kebajikan mereka.

Terlalu banyak intipati-intipati yang kami perolehi dalam misi kembara sukarelawan kali ini, walaupun menghadapi pelbagai kesukaran dan cabaran, ini sama sekali tidak mematahkan semangat kami untuk terus memberi khidmat bakti serta menjalinkan hubungan dengan masyarakat luar sana yang memerlukan sokongan dari segi mental mahupun fizikal. Kami berharap semoga misi dakwah kami di sana dapat dijadikan contoh kepada mahasiswa-mahasiswa seluruh dunia untuk terus menabur bakti kepada ummah dan menjadi manusia terbaik sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Featured Posts
Recent Posts
Archive
Search By Tags
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page