Program Gelandangan 2015 pupuk sikap prihatin mahasiswa terhadap masyarakat luar
![Picture4.jpg](https://static.wixstatic.com/media/2dd0c8_c794e79c8b0545ef85594d0945f9bec2.jpg/v1/fill/w_558,h_744,al_c,q_85,enc_avif,quality_auto/2dd0c8_c794e79c8b0545ef85594d0945f9bec2.jpg)
Kuala Lumpur – Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) dan Kelab Suruhan Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bekerjasama menganjurkan Program Gelandangan 2015 bagi memupuk keprihatin mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terhadap masyarakat luar baru-baru ini.
Menurut pengarah program, Muhamad Rezal Ahmad Zaini, program gelandangan bertujuan untuk menjalinkan hubungan antara pelajar dan masyarakat luar supaya dapat menanamkan sifat keprihatinan dalam diri pelajar.
“Aktiviti yang dijalankan sepanjang program adalah untuk menyedarkan mahasiswa supaya bersyukur dan menanam rasa belas kasihan dalam diri terhadap kesusahan dan keperitan yang dialami masyarakat luar,” ujar beliau lagi.
Menurut salah seorang peserta program gelandangan, Nur Amirah Hasan, program seperti ini dapat mendedahkan mahasiswa kepada kehidupan masyarakat luar dan peka akan keadaan yang berlaku di sekeliling pelajar.
“Program ini dapat melahirkan pelajar yang berpengetahuan bukan sahaja dalam kehidupan di Universiti malah terdedah dengan kehidupan luar,” tambah beliau.
Aktiviti yang dijalankan sepanjang program ini adalah mengedarkan makanan dan pakaian kepada golongan yang memerlukan.
Program ini berlangsung sekitar Masjid Jamek dan Pasar Seni melibatkan lebih 60 orang pelajar dan pegawai pengiring.