Hutan Bakau Sebagai Buah Pinggang Dunia
![Picture1.jpg](https://static.wixstatic.com/media/2dd0c8_01192059c8934b2e82edb2ff20e6a34d.jpg/v1/fill/w_947,h_703,al_c,q_85,enc_avif,quality_auto/2dd0c8_01192059c8934b2e82edb2ff20e6a34d.jpg)
Antara contoh pokok Bakau yang ditanam di Kuala Gula
Kuala Gula- Seramai 25 orang peserta program Penanaman Semula Bakau dan Mini See Nature 2015 mendapat pendedahan tentang hutan bakau sebagai buah pinggang dunia melalui program anjuran Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dengan kerjasama Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) di Kuala Gula, Perak, baru-baru ini.
Menurut pengerusi Sahabat Pokok Bakau (SPB), Pujiastuti Ismaun, akar pokok bakau yang kompleks memerangkap segala sampah sarap di dalam laut dan mendapan sekali gus ianya mengalirkan air yang jernih ke laut.
“Fungsi pokok bakau sama seperti buah pinggang manusia, yang mana ia menapis bahan buangan yang masuk ke dalam perut, kemudian dikeluar dari tubuh badan kita sebagai air kencing.
“Contohnya apabila kita minum air kopi, yang keluar hanya air jernih berwarna kuning dan tidak berwarna hitam,” katanya dalam taklimat penanam pokok bakau.
Mengulas lanjut, beliau berkata sasaran yang ingin dicapai pada tahun ini adalah menanam satu juta anak benih pokok bakau bertujuan menabur bakti kepada bumi.
“Setiap tahun, SPB akan mensasarkan satu juta anak pokok bakau yang akan ditanam demi menjaga ekosistem dunia, akan tetapi pada tahun 2013, SBP tidak sampai sasaran kerana pelancong yang kurang pada tahun tersebut,” ujar beliau lagi.
Menurut pengarah program, Puan Shamimey Mazlan, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang kepentingan hutan bakau demi menjaga keseimbangan ekosistem dunia.
“Program ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada pelajar untuk memahami dengan lebih mendalam akan kepentingan memulihara alam semula jadi dan kepentingan pokok bakau kepada dunia” ulas beliau lagi.
Sementara itu, peserta Muhamad Rezal Ahmad Zaini, 22, berkata program tersebut telah memberi ilmu yang sangat berguna kepadanya kerana pengetahuan berkaitan penanaman pokok bakau tidak akan diperolehi di dalam kuliah mahu pun kelas toturial melainkan merasai sendiri proses penanaman tersebut.
“Saya sangat teruja dan berterima kasih kepada PKU kerana menganjurkan program yang sangat hebat yang mana ia memberi pengalaman baharu yang cukup bermakna dalam hidup saya.
“Sudah lama saya menyimpan hasrat untuk menanam pokok bakau, tetapi ilmu baharu yang saya perolehi bukan setakat pengalaman menanam; malahan saya juga tahu mengenai ketam lembut yang mana ia dinamakan sebegitu selepas melalui proses semula jadi.
Lebih 300 anak pokok bakau berjaya ditanam pada program kali ini.