Didikan Yang Berkesan Buat Permata Berharga
![tips mendidik anak-anak.jpg](https://static.wixstatic.com/media/2dd0c8_4b7998b28f2e4c5bb6101b0c12e27923.jpg/v1/fill/w_397,h_300,al_c,q_80,enc_auto/2dd0c8_4b7998b28f2e4c5bb6101b0c12e27923.jpg)
Tatkala suara bayi yang menangis itu dapat kita dengari, maka bermulalah kita yang kini digelar sebagai ibu bapa untuk memegang satu amanah dan ujian daripada allah untuk mendidik permata dengan didikan yang sempurna iaitu dengan didikan agama.
Peranan ibu bapa terhadap anak
Seperti yang dinyatakan dalam surah Al-Anfal ayat 28 firman allah S.W.T : “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”
Apa yang ingin difokuskan dalam ayat di atas ialah berkaitan dengan anak yang kita lahir. Anak merupakan ujian kepada orang yang beriman. Jika anak-anak yang di didik oleh kita mengikut acuan Islam, maka kita akan beroleh ganjaran yang besar hasil ketaatan mereka.
Oleh yang demikian, untuk kita miliki anak yang mengikut acuan islam, ibu bapalah yang pertama sekali berperanan penting dalam mencorakkan anak-anak kerana dalam hadis juga ada bersabda: “Tiap bayi itu dilahirkan di dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya seorang Yahudi, Nasrani ataupun Majusi”( Riwayat Muslim 4:2047)
Permasalahan ibu bapa terhadap didikan anak
Namun begitu, ramai dikalangan ibu bapa menginginkan anak mereka berjaya dengan mengikut acuan islam, namun begitu kemahuan kita kadangkala tidak kesampaian, disebabkan kurangnya ilmu kita dalam mendidik anak-anak. Ini dapat kita lihat daripada pelbagai kes-kes yang berkaitan dengan sikap anak yang lari dari rumah kerana tertekan dengan sikap ibu bapa dan mungkin kurangnya perhatian kita kepada mereka yang akhirnya menyebabkan mereka terlibat dengan aktiviti sosial yang tidak bermoral.
Masalah yang dapat dilihat di sini, adalah cara didikan yang diberikan kepada ibu bapa kepada anak-anak. Kebanyakan daripada mereka, tidak mengikut cara pendekatan yang betul sepertimana yang diajar oleh Nabi kita, iaitu Nabi Muhammad S.A.W berkaitan cara pendidikan anak yang betul.
Penyelesaian mengikut cara didikan sebenar
Oleh yang demikian, pengetahuan tentang didikan anak mengikut cara nabi muhammad S.A.W perlulah diaplikasi kepada anak kita terutamanya setelah mereka dilahirkan. Seperti yang kita ketahui, cara didikan anak yang diajar oleh nabi Muhammad, selepas anak itu dilahir memiliki empat peringkat atau fasa iaitu:
1) Peringkat pertama umur 0 hingga tujuh tahun
Ketika ini Rasulullah menyuruh ibu bapa agar memberi didikan dengan sepenuh kasih sayang dan bermanja dengan mereka.Antara cara berkesan untuk menambahkan lagi kasih sayang terhadap mereka dengan selalu memberi pelukan dan ciuman kepada mereka.Disamping itu cara kekerasan tidak dibenarkan kerana ketika ini tahap pemikiran mereka baru ingin mengetahui mana yang benar dan mana yang salah. Jika mereka berkelakuan nakal sekalipun mereka mungkin mereka merasakan itu menyeronokan untuk mereka.Tambahan pula, masa inilah ibu bapa juga perlu menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka kerana mereka mudah menerima apa yang mereka lihat dan dengar.
2) Peringkat Kedua umur tujuh hingga 14 tahun
Seterusnya pada peringkat ini, Rasulullah memerintahkan kita untuk mula menanamkan sikap disiplin kepada anak-anak dengan mengajarkan mereka ilmu berkaitan dengan agama dan memerintahkan mereka untuk mengerjakan solat. Bahkan apabila umurnya sudah 10 tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat. Rasulullah SAW telah bersabda; “Suruhlah anak kamu mengerjakan sembahyang apabila berumur 7 tahun, dan pukullah mereka (jika mereka enggan) apabila berumur 10 tahun, dan asingkan tempat tidur mereka”. (HR Ahmad & Ab Daud)
Seterusnya jika kita ingin merotan mereka, perlulah dengan cara yang betul dan menepati syariat islam, bukan memukul seperti ingin mendera mereka, seterusnya jika memukul ditelapak kaki pula mengikut secara saintifiknya ia ada kaitan dengan refleksologi dan memberi rangsangan ke bahagian otak anak tersebut.
Berdasarkan kajian pakar-pakar ilmu jiwa anak pula, pada umur 7-14 tahun ini juga adalah masa terbaik juga untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak. Diriwayatkan dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda maksudnya; “Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak ialah seperti mengukir sesuatu pada batu”.
3) Peringkat ketiga umur 14 hingga 21 tahun
Ketika ini , didikan yang diberikan bertukar kepada cara rasional. Di mana ibu bapa perlu mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, berkongsi masalah,mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah seperti tanggungjawab seorang anak perempuan yang perlu membantu ibunya dirumah. Namun setelah remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah dan akhlak perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka dapat mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-perkara baik dan betul tersebut dapat dilaksanakan dalam kehidupan mereka seharian. Oleh yang demikian, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul.
4) Peringkat keempat umur lebih 21 keatas
Ketika ini anak-anak diberi pelepasan untuk memilih jalan mereka sendiri setelah diberi didikan agama dan kasih sayang yang diberi dengan sebaiknya.Namun begitu, pemerhatian perlulah dititikkan beratkan dan nasihat serta peringatan turut diberikan jika mereka tersalah atau terleka dengan ujian dunia ini. Sepertimana dapat kita lihat, pada zaman moden ini ibu bapa kadangkala melepaskan anak mereka begitu sahaja terutama ketika mereka sedang belajar atau bekerja dan akhirnya ketika itu anak-anak mereka berkemungkinan boleh melupakan mereka disebabkan mereka yang diberi kebebasan begitu sahaja tanpa bertanya khabar dan memperingati mereka.
Dapat disimpulkan di sini, peranan ibu bapa amat penting dalam membentuk anak-anak mereka dengan didikan yang sempurna.Ini kerana dengan adanya didikan yang sempurna, generasi yang kita lahirkan ini dapat membentuk sebuah masyarakat yang berjaya tidak kira dari aspek duniawi mahupun ukhrawi dan permasalah berkenaan dengan anak-anak yang bermasalah dapat dibendung dengan sebaiknya.
a