BKA Bantu Persiap Diri
![Picture2.jpg](https://static.wixstatic.com/media/2dd0c8_0e9809570f5044ce9a7abdda87eed010.jpg/v1/fill/w_947,h_632,al_c,q_85,enc_avif,quality_auto/2dd0c8_0e9809570f5044ce9a7abdda87eed010.jpg)
Ayer Keroh– Bengkel Kecemerlangan Akademik (BKA) membuka mata lebih 30 orang pelajar daripada Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) untuk mempersiapkan diri dengan potensi atau soft skill bagi menghadapi alam pekerjaan selepas mereka bergraduasi.
Pengarah BKA, Encik Akhdiat Abd Malek berkata, bengkel ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai apa yang mereka perlu persiapkan bagi menghadapi dunia pekerjaaan yang mana ilmu ini tidak dapat diperolehi di dalam kuliah atau kelas tutorial.
“Bengkel ini dapat memotivasikan peserta untuk meneruskan kecemerlangan akademik, menunjuk jalan untuk mereka mengenal potensi diri, dan juga memperkukuhkan jati diri serta membina kemahiran insaniah sebelum mereka keluar bekerja.
“Saya berharap peserta yang hadir ke bengkel ini dapat mengekalkan momentum kecemerlangan mereka dalam bidang akademik dan menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi seperti sarjana dan doktor falsafah (PhD) dan sekali gus dapat memberi sumbangan kepada fakulti.” tambahnya lagi.
Sementara itu, penceramah, Puan Yurni Emilia Abd Hamid berkata, seseorang perlu mencari dan mengenalpasti potensi diri supaya mereka tahu apa yang mereka mampu lakukan dan kekurangan diri dapat diperbaiki.
“Sebagai pelajar tahun satu di universiti, mereka sepatutnya sudah mengetahui personaliti yang dimiliki untuk melihat di mana kecenderungan sebenar supaya potensi diri dapat dibina melalui personaliti tersebut.”
“Ujian personaliti ini boleh dilakukan dalam beberapa ujian berbeza seperti The Birkman Method (TBM), Myers-Briggs Typo Indicator (MBTI) dan Holland Codes.”
Dalam pada itu, peserta bengkel Mohd Sharul Naim Bin Basuki, 20, pelajar Kursus Bahasa Arab dan Komunikasi berkata, “Bengkel ini secara tidak langsung telah membina kemahiran insaniah dalam diri saya di mana saya terpaksa menjadi pengerusi majlis walaupun dalam keadaan tidak bersedia dan ini memberi pengajaran kepada saya supaya lebih bersedia.”
“Selain itu, saya juga menyedari bahawa kita perlu mencari personaliti kita yang sebenar bagi membolehkan kita mengetahui kelebihan dan kemampuan yang kita ada untuk terus kekal cemerlang tidak kira apa sekalipun yang kita lakukan.”
Kesemua peserta bengkel adalah mereka yang terpilih dalam kalangan penerima Anugerah Dekan bagi sesi 2014/2015.
Bengkel ini bertempat di Puteri Resort, Ayer Keroh Melaka pada 25 April 2015.