Indahnya Syahid Allah
![download (1).jpg](https://static.wixstatic.com/media/2dd0c8_f0106894107c48278c8e7d95df0c3da3.jpg/v1/fill/w_269,h_187,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/2dd0c8_f0106894107c48278c8e7d95df0c3da3.jpg)
Dunia hari ini gempar apabila Nepal dilanda gempa bumi yang agak dasyat. Tragedi yang berukuran 7.9 skala Ritcher tersebut menyebabkan penduduk dunia turut bersedih. Gempa bumi yang meragut hampir 10,000 nyawa tersebut mendapat tumpuan masyarakat dunia. Namun disebalik setiap yang berlaku ada sesuatu, itulah yang seharusnya dipegang oleh setiap manusia terutamanya sebagai seorang yang bergelar muslim.
Kita sewajarnya melihat sesuatu yang berlaku dari sudut yang berbeza ataupun dengan erti kata lain, kita cuba mencari apa yang tersirat daripada yang tersurat. Mati adalah sesuatu yang wajib bagi setiap manusia, tidak kira usia ataupun latar belakang agama. Semua manusia pasti menghadapinya, tidak kiralah cepat atau lambat.
Dalam Islam, kita dapat melihat kematian ini sesuatu yang sangat indah apabila kita betul-betul memahami konsep mati. Semua orang takutkan kematian, kecuali orang-orang yang beriman sahaja yang sangat teruja menghadapi kematian, kerana bagi mereka itulah adalah jalan menuju Illahi.
Mati syahid adalah satu yang sangat istimewa, hanya orang yang terpilih sahaja mendapat mati syahid, namun setiap orang Islam berhak untuk mengejar mati syahid tersebut. Kita hari ini telah salah menafsir tentang apa itu mati syahid.
Ramai yang hanya beranggapan untuk mendapat mati syahid, kita hanya perlu keluar berperang sebagaimana yang berlaku di zaman Rasulullah dahulu dan seperti di Negara seperti Iraq, Palestin serta negara-negara lain yang terlibat dengan peperangan.
“Rasulullah SAW pernah bersabda : Barangsiapa yang ucapan terakhirnya Laa Illaaha Illallah maka dia masuk syurga”- Hadis riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, dan al-Hakim.
Mati syahid adalah mati ketika sedang berjuang di jalan Allah, kalau hari ini kita melihat Palestin diserang Israel, kita dapat tahu bahawa setiap penduduk Palestin yang berjuang mempertahankan Negara mereka telah mendapat mati syahid, dan itu sememangnya satu yang jelas.
Persoalannya, bagaimana kita yang tinggal di Malaysia mahu mendapat mati syahid tersebut, adakah kita harus ke Palestin bersama-sama mereka berjuang? Jawapannya berada di setiap benak fikiran dan hati kita sendiri. Antara golongan terpilih mendapat syahid Allah adalah mereka yang :
Mati Berjuang di jalan Allah
Golongan ini kita sudah sedia maklum terhadap ganjaran syahid yang dijanjikan Allah. Ia juga dinamakan sebagai syahid besar dan ganjaran pahala terhadap mereka yang mati kerana memperjuangkan jalan Allah adalah syurga. Yang pastinya, mereka yang berjuang fi-sabilillah ini mendapat banyak keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah. Cara pengurusan jenazah terhadap golongan yang istimewa ini juga berbeza dari golongan syahid yang lain. Mereka tidak boleh dimandikan bahkan mereka harus dimakamkan bersama darah yang keluar serta haruslah dibiarkan sebagaimana ketika dia mati.
Dari Jabir bin Abdillah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda berkaitan jenazah yang terkorban pada perang Uhud yang bermaksud :
“Jangan kalian mandikan mereka, kerana setiap luka atau darah, akan mengeluarkan bau harum meskipun pada hari kiamat.” ( Hadis Riwayat Ahmad 14189 )
Selain itu mereka juga dibenarkan untuk tidak disolatkan, tetapi jika disolatkan mereka juga adalah tidak salah. Jenazah yang meninggal di perang Uhud, dimakamkan tanpa disolatkan. Jabir mengkhabarkan,
“Nabi SAW memerintahkan agar memakamkan mereka bersama dengan darah mereka, tidak dimandikan dan tidak disolatkan. (Hadis riwayat Bukhari 1343)
Mati kerana wabak taun. Pada zaman dahulu wabak yang dikenali hanya taun. Pada masa sekarang, terdapat banyak lagi wabak yang dikenali seperti selsema burung, SARS dan sebagainya.
Mati kerana lemas ( al-qharq ) sepeti mereka yang lemas kerana banjir, tsunami, dan sebagainya.
Meraka yang mati kerana sakit zat al-janb (paru-paru). Zat al- janb maksudnya sakit tumbuk rusuk atau sakit sesak nafas, pneumonia atau sakit paru-paru berair.
Mati kerana komplikasi perut dan ia adalah berbagai-bagai jenis dan biasanya melibatkan perut dan usus, yang paling biasa ialah appendix dan kanser usus.
Mati dalam kebakaran iaitu sebagaimana yang sering kita baca di dada akhbar bahawa orang Islam mati kerana kebakaran, samaada rumah atau kenderaan yang terlibat dengan kemalangan jalanraya yang bertukar menjadi kebakaran.
Matinya wanita dalam nifasnya disebabkan melahirkan anaknya.
Dari Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda :
“Selain yang terbunuh di jalan Allah, golongan yang mati syahid ini ada tujuh : Mati kerana taun, mati kerana tenggelam ( lemas ), mati kerana penyakit berkaitan tulang rusuk, mati kerana sakit perut, mati kerana kebakaran, mati kerana tertimpa sesuatu yang kuat dan matinya seorang wanita kerana melahirkan anaknya. ( Hadis Riwayat Abu Daud 3111).
Seseorang yang syahid itu sangat mulia terutamanya disisi Allah. Wanita pertama yang syahid dalam Islam ialah Sumayyah. Tergolong dalam golongan yang terawal memeluk Islam, Sumayyah binti Khabath dan suami Yasir telah diseksa kerana memeluk agama Islam. Pelbagai seksaan yang amat dasyat telah dikenakan keatas Sumayyah, namun tidak menggoyahkan pegangan beliau terhadap Islam. Di akhirnya Sumayyah telah dibunuh dan menjadi wanita pertama yang syahid dalam Islam kerana membela agama yang tercinta.