Derma Darah Cegah Risiko Penyakit Kronik.
![11051258_788087814579212_1543304402_n.jpg](https://static.wixstatic.com/media/2dd0c8_02317b3df8a44c9092a581009bc06210.jpg/v1/fill/w_960,h_720,al_c,q_85,enc_avif,quality_auto/2dd0c8_02317b3df8a44c9092a581009bc06210.jpg)
Derma darah yang berlansung di Hep
Derma darah boleh diklasifikasikan sebagai pendermaan darah penuh dan pendermaan aferesis. Pendermaan darah penuh ialah pendermaan darah kesemua komponen darah dan darah penderma yang dikeluarkan tidak akan dikembalikan ke dalam badan penderma.Manakala pendermaan aferesis pula membawa maksud darah penderma yang dikeluarkan diasingkan mengikut komponen darah di mana pendermaan aferesis ialah pendermaan komponen darah iaitu plasma darah atau platelet bahkan kedua-duanya sekali.
Sepertimana kita sedia maklum, darah merupakan satu komponen terpenting dalam perawatan kesihatan.Keperluan dan permintaan terhadap darah semakin meningkat hasil kemajuan teknologi perubatan dan peningkatan bilangan hospital kerajaan swasta.Rawatan kes-kes seperti pembedahan jantung, pemindahan organ,, rawatan pesakit-pesakit talasemia, haemofilia dan anemia memerlukan permindahan darah.
Darah manusia tidak boleh dimasukkan ke dalam badan orang lain jika tidak mengikut jenisnya.Secara umumnya manusia mempunyai empat kumpulan darah iaitu O, A, B dan AB sahaja.Kumpulan darah O boleh menerima darah daripada kumpulan darah iaitu O sahaja.Walau bagaimanapun darah itu boleh didermakan kepada semua penerima. Manakala kumpulan darah AB hanya boleh didermakan kepada individu kumpulan darah yang sama, tetapi boleh menerima semua kumpulan darah
.Hukum menderma darah adalah harus, yakni boleh dilakukan. Ia berdasarkan kepentingan pemindahan darah yang tanpanya menyebabkan mangsa menghadapi maut atau penyakit tidak sembuh.
Mutakhir ini ,statistik yang telah dikeluarkan hanya 2.5 peratus rakyat Malaysia menjadi penderma darah tetap berbanding lima peratus penderma tetap di kebanyakan negara.Ini menunjukkan betapa rakyat Malaysia tidak bersikap terbuka terhadap amalan menderma darah. Sepatutnya keinginan untuk menderma darah perlu wujud dalam diri setiap individu sebagai satu tanggungjawab membantu sesama manusia.
Pelbagai persepsi rakyat Malaysia bahawa menderma darah boleh mendatangkan banyak penyakit kronik kerana apabila kita menderma secara tidak langsung kita kehilangan darah. Sesungguhnya tanggapan ini perlu dielakkan kerana menderma darah bukan sahaja tidak membahayakan diri penderma, bahkan merupakan amalan terpuji untuk menjaga kesihatan.
Bahkan saya sendiri sudah menderma darah dan berasa sangat bersyukur kerana dapat menolong orang lain. Renungkan firman Allah dalam surah al-Zalzalah ayat 7 hingga 8 yang bermaksud: “Sesiapa yang membuat kebajikan walaupun sebesar zarah, pasti akan diberi balasannya, dan sesiapa juga membuat kejahatan walaupun sebesar zarah, akan juga mendapat pembalasan.”
Hakikatnya, penderma darah akan mendapat manfaat kesihatan sebagaimana yang telah disahkan oleh pakar perubatan, antaranya seperti menawarkan pemeriksaan kesihatan secara tetap dan teratur. Seterusnya, memperolehi maklumat mengenai pendidikan kesihatan dan menggalakkan seseorang untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat malah hasil daripada proses menderma darah dapat membantu merangsang penghasilan sel darah merah yang baru dan seterusnya menyegarkan kembali sistem tubuh.
Ini kerana selepas menderma darah, kiraan sel darah dalam badan akan berkurangan, yang mana akan merangsang sistem tubuh untuk menghasilkan darah merah yang baru bagi menggantikan darah yang telah hilang. Bahkan menderma darah dapat mencegah dan mengurangkan pengumpulan zat besi yang berlebihan dalam tubuh seterusnya mengurangkan risiko menghadapi serangan jantung sebanyak satu pertiga.