SONIC MENANG ANUGERAH KHAS
![Untitled Infographic.jpg](https://static.wixstatic.com/media/2dd0c8_37a18657303c44ab971d8c6354a53b07.jpg/v1/fill/w_800,h_2402,al_c,q_85,enc_avif,quality_auto/2dd0c8_37a18657303c44ab971d8c6354a53b07.jpg)
USIM, 17 April – Kumpulan SONIC tidak pulang dengan tangan kosong apabila berjaya dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Khas (Pengurusan Bencana Negara) sempena Konvensyen Inovatif & Kreatif (KIK) 2015 yang melibatkan lebih 39 penyertaan seluruh negara di sini, semalam.
Menurut ketua kumpulan, Dr. Nik Mohd Shafikudin Md. Taujuddin, mereka tidak menyangka akan memenangi anugerah tersebut memandangkan terdapat beberapa produk yang kompetitif turut dihasilkan dalam konvensyen kali in.
Produk inovatif yang dimaksudkan ialah beg Sonic yang mana ia memudahkan para pelajar yang ingin melakukan aktiviti luar yang ekstrem seperti mendaki gunung untuk membawa peralatan kecemasan dan perubatan bersama-sama semasa aktiviti dijalankan.
Ketika ditanya mengenai pandangan beliau mengapa beg Sonic dipilih dan layak memenangi anugerah tersebut, beliau berkata, “Saya merasakan bahawa produk yang kami hasilkan ini adalah alat yang boleh diguna pakai oleh sesiapa sahaja ketika bencana alam dan sangat praktis kepada pengguna.
“Ianya juga telah diguna pakai oleh sukarelawan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ketika universiti tersebut menghantar bantuan kemanusiaan dalam operasi banjir di Ulu Lebir, Kuala Krai pada awal tahun lalu.
“Semoga ia memberi manfaat besar dari segi memudahkan dan memaksimumkan penggunaan peti kecemasan terutama kepada pelajar USIM yang menjalankan aktiviti outdoor,” tambahnya lagi sebelum mengakhiri temubual selepas tamat malam KIK 2015.
Sementara itu, En. Hafizullah Amin berkata, keistimewaan beg Sonic selain menempatkan ubat-ubatan, ianya juga turut dilengkapi pelbagai fungsi lain, antaranya ialah tempat meletak pek ais, kompas, power bank, lampu suluh, kain strecher yang digunakan untuk mengangkat pesakit dan ianya juga boleh dijadikan sejadah serta alas tidur.
“Elemen yang paling sukar semasa proses penjahitan ialah menjahit beg ais yang mana ia memerlukan jahitan tangan yang teliti dan tidak boleh menggunakan mesin jahit,” katanya yang merupakan pereka beg Sonic dan juga setiausaha kumpulan tersebut.
Kejayan itu turut mendapat pujian dan ucapan tahniah daripada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Dato’ Prof. Dr. Asma Ismail dan diiringi Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Musa Ahmad sebelum beliau meninggalkan majlis.
Kejayaan turut sama dikongsi Urusetia Perlindungan Perubatan Pelajar (U3P) yang merupakan badan yang bernaung dibawah Pusat Kesihatan Universiti (PKU) USIM.